KANGAR: Pemimpin UMNO dan Pas perlu melihat kembali kandungan memorandum persefahaman (MoU) Muafakat Nasional (MN) yang menyatakan 'sebarang masalah dalam kerjasama dua parti itu perlu diselesaikan mengikut contoh Piagam Madinah'.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, yang mengakui menjadi antara pemimpin mengusahakan MoU itu, berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri bersetuju perkara berkenaan dimasukkan dalam perjanjian berkenaan.

Jelasnya, fasal itu menuntut pemimpin kedua-dua parti supaya kembali merujuk kepada al-Quran dan hadis, sekiranya berdepan kebuntuan atau masalah.

Justeru, katanya perkara itu tidak harus ditinggalkan dalam usaha menyelamatkan MN, malah beliau percaya masih ada peluang untuk UMNO dan Pas bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Dalam membentuk kerjasama antara UMNO dan Pas ini, kalau ada pertikaian, kalau ada masalah kita ikut macam Piagam Madinah dulu... yakni kalau ada pertikaian kita kembali kita merujuk kepada al-Quran dan sunah sebagai sumber rujukan nak menyelesaikan masalah.

"Jadi ungkapan itu memang dibaikilah...para (perenggan) akhir kita baiki memang kita masukkan (Piagam Madinah)," katanya ketika ditemui selepas mengunjungi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di Kompleks Pas Kangar, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pemimpin kedua-kedua parti harus berusaha menyelesaikan masalah atau pertikaian yang terbuku.

Jelasnya, amat rugi sekiranya MN terkubur begitu sahaja sedangkan penubuhannya tidak sampai satu penggal malah belum sempat bersama dalam menghadapi PRU.

Sementara itu, Hashim memaklumkan, beliau seolah-olah mendapat semangat dan tenaga baharu dalam usaha menyelamatkan perpaduan ummah ini selepas bertemu Annuar dan membincangkan isu itu.

Justeru beliau berazam, apapun halangan pimpinan UMNO dan Pas harus bersepakat meneruskan perjuangan ke arah perpaduan ummah itu.

"Saya nampak jalan di depan tu semakin terang makin cerah untuk kebaikan perpaduan ummah dalam negara kita dan saya penuh yakin bahawa apa yang kami bincangkan tadi dan apa yang didedahkan pula oleh Tan Sri (Annuar) kepada pemberita ini menampakan bahawa kita tidak akan kecewa dengan apa yang berlaku," katanya.