Pemimpin UMNO perlu menggunakan pendekatan sesuai dengan kumpulan sasaran dalam usaha menambat hati masyarakat untuk bersama parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini perlu terutamanya penduduk di kawasan bandar yang kehendaknya lebih sofistikated dan berubah mengikut trend semasa berbanding masyarakat luar bandar.

"Dalam keadaan itu (kehidupan sofistikated), mereka menterjemahkan apa yang dipanggil sebagai budaya 'hipster' iaitu perubahan dalam gaya hidup. Nilai orang kampung berbeza dengan nilai orang yang telah mengalami urbanisasi atau mobilisasi taraf hidup.

"Jadi bentuk tindakan memberi perkhidmatan harus disesuaikan dengan kumpulan sasaran budaya 'hipster', masyarakat bandar yang terdiri kebanyakannya daripada kumpulan pendapatan pertengahan, " katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Katanya yang juga Pemangku Timbalan Presiden UMNO, kegagalan menggunakan pendekatan sesuai menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima padah apabila kehilangan banyak kerusi di kawasan bandar, biarpun penduduk kawasan tersebut menerima banyak manfaat daripada pembangunan kerajaan.

Beliau merujuk kegagalan UMNO menawan Shah Alam pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 walaupun 70.46 peratus pengundinya adalah berbangsa Melayu.

Beliau juga percaya sekiranya strategi betul diambil dengan turut mengambil kira faktor lokasi dan situasi, tidak mustahil untuk UMNO dan BN kembali menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) dan Parlimen di Shah Alam dalam PRU akan datang.

Datuk Seri Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin tidak menyalahkan pihak lain mahupun kepimpinan terdahulu terhadap kelemahan parti ketika ini.

Katanya, setiap pemimpin harus mencermin diri, mengambil tanggungjawab atas setiap yang berlaku dan bangkit membetulkan kelemahan dengan mengambil peduli rakyat di peringkat akar umbi.

Pada masa sama, pemimpin juga diingatkan untuk tidak lupa diri setelah mengalami mobilisasi taraf hidup seperti kenaikan pangkat, taraf ekonomi dan kedudukan sosial.

"Kita perlu mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

"Barulah rakyat sayang dan cintakan kita," pesannya.