Penahanan Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin membuktikan kecenderungan DAP dalam isu sistem Raja Berperlembagaan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, ia menjadi tanda komitmen agensi penguatkuasa membanteras sebarang usaha merobek semangat dan asas Perlembagaan negara.

"Kami memuji tinggi tindakan PDRM yang menahan Ustaz Wan Ji bagi disiasat. Saya tidak faham mengapa Kerajaan Pulau Pinang yang diperintah DAP melantiknya.

"Mungkin kerana kelunakan ceramah dan pemikiran Wan Ji sendiri yang mengatakan sistem Raja akan diluputkan menjelang 2030.

"Agaknya kerana pemikiran sebegini yang menyebabkan dia dilantik oleh DAP sebagai penasihat Agama Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Jumaat, Wan Ji ditahan polis sejurus selepas menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jalan Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan media.

Wan Ji yang juga ketua Exco Agama Pemuda PKR itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah.

Salam pada itu tegas Bastien, banyak lagi ustaz lain yang lebih berwibawa untuk menjadi penasihat di Pulau Pinang.

"Pemuda UMNO juga boleh cadang kalau mereka mahu, jika tidak berkenan, ustaz atau penceramah dari PAS boleh mengisi jawatan itu.

"Saya ingin mengingatkan DAP bahawa sistem beraja termaktub dengan kemas di dalam Perlembagaan semasa penubuhan negara ini.

"Ia bukan sahaja dilindungi oleh UMNO malah Parti Perikatan ketika itu juga bertanggungjawab meletakkan kedudukan Raja di tempat paling atas dengan disisip rapi sebagai ketua agama Islam di semua negeri," tegasnya.

Bastion turut bertanya apa tindakan DAP jika ada negeri melantik penasihat yang cenderung untuk menghapuskan kebebasan beragama bagi yang bukan Islam.

"Atau ada antara mereka yang cenderung untuk menghapuskan sekolah vernakular?

"Jika itu tidak dijaga, saya percaya negara akan musnah sebagaimana terjadi di negara-negara lain yang akhirnya tidak dapat dikembalikan keharmoniannya," ujarnya.

Polis mengesahkan penahanan Wan Ji di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Penahanan Wan Ji berlaku beberapa hari selepas penceramah agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, yang kini turut ditahan di bawah Akta Hasutan, memuat naik gambar Wan Ji dengan ayat 'Wan Ji mahu sistem raja dihapuskan'.