KUALA LUMPUR:Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempertimbangkan tindakan undang-undang pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kerana masih tidak meluluskan pendaftaran mereka yang dimohon tiga bulan lalu.

Parti yang diasaskan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu turut melantik bekas Peguam Negara Tommy Thomas dan bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan untuk menangani isu pendaftarannya.

"Proses pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik yang sah telah mula dibuat sejak 17 September 2020.

"Namun sehingga 21 Disember 2020, barisan Penaja Muda masih belum menerima apa-apa perkembangan terkini berkenaan pendaftaran Muda.

"Maka, pada 21 Disember 2020, Penaja Muda bersama 100 penyokong Muda hadir ke ROS untuk menyerahkan surat peguam untuk menuntut pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik yang sah diluluskan dengan kadar yang segera," kata Muda dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam kenyataan itu juga, jawatankuasa penaja Muda menjelaskan, pihaknya tidak mengharapkan layanan istimewa dari pihak JPPM.

Namun begitu kata Muda, pihaknya sukar menerima kelewatan pendaftaran parti itu kerana tiada sebarang alasan diberi untuk menolak atau menangguhkan.

"Sebagai perbandingan, pendaftaran Perikatan Nasional hanya mengambil masa selama tiga hari sahaja di bawah kerajaan hari ini.

"Manakala, pada era kerajaan lama Barisan Nasional, pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia mengambil masa selama 30 hari," katanya.

Baru-baru ini, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut membawa isu kelewatan meluluskan pendaftaran parti mereka ke mahkamah.