KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menggerakkan 200 sukarelawan untuk membantu 255 penghuni di tiga institusi jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Cheras menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, kerjasama dengan JKM itu bertujuan menambah baik persekitaran institusi jagaan serta memberi peluang kepada penghuni untuk belajar dan meluangkan masa bersama sukarelawan.
“Di MAG, komitmen kami terhadap kecemerlangan seiring dengan tanggungjawab kami kepada masyarakat. Penglibatan 200 warga kerja kami, daripada barisan kepimpinan hingga petugas barisan hadapan, yang bersama-sama berkhidmat kepada komuniti setempat mencerminkan semangat Malaysian Hospitality.
“Menerusi kerjasama dengan JKM, kami mahu membawa perubahan positif yang dapat dirasai di institusi jagaan ini, bukan sahaja dengan menambah baik persekitaran fizikal, tetapi juga dengan menemani penghuni, belajar bersama mereka dan mewujudkan suasana yang menyokong setiap penghuni,” katanya dalam kenyataan semalam.
Program itu memberi manfaat kepada 170 warga emas di Rumah Seri Kenangan Cheras serta 85 kanak-kanak di Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli Cheras dan Rumah Kanak-Kanak Mini Cheras.
Sukarelawan yang terdiri daripada pengurusan kanan dan kakitangan MAG membantu membersihkan serta mengemaskan ruang kediaman, berkebun dan melukis mural, selain menyertai aktiviti riadah bersama penghuni.
Di Rumah Kanak-Kanak Mini Cheras, MAG menggunakan semula permaidani pesawat untuk menyediakan perpustakaan mini yang memberi ruang khusus kepada kanak-kanak untuk membaca dan belajar.
MAG turut menyumbangkan Going Places, majalah dalam pesawat Malaysia Airlines, sebagai bahan bacaan di perpustakaan itu.
Jenama cat tempatan PELAKA menjadi pembekal cat rasmi bagi kerja melukis mural, manakala Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menyumbangkan 20 karton minuman F&N SEASONS untuk program berkenaan.
Program itu sebahagian daripada usaha CSR MAG yang memberi tumpuan kepada kemanusiaan, alam sekitar dan pendidikan.