Pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi signifikan dalam kalangan pengundi Melayu, kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang menyaksikan kedua-dua kerusi berjaya dikekalkan oleh Barisan Nasional pada Sabtu.

Tambah Mohd Zuhdi, Dr Mahathir semakin hilang pengaruh berikutan semakin menunjukkan penglibatan dengan Pakatan Harapan.

“Isu-isu yang dibangkitkan berkaitan dengan 1MDB, jet peribadi dan lain-lain, tidak berkesan untuk menarik sokongan mengundi parti-parti pembangkang,” ujarnya yang turut berkata, dengan mengetengahkan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos hidup juga tidak berjaya diterjemah ke atas kertas undi.

Menurut beliau, PAS ternyata mempunyai kekuatan tersendiri sehingga mendahului PH di Kuala Kangsar dan tertinggal sedikit dari PH di Sungai Besar.

“Daripada peratusan undi yang PAS terima, menunjukkan kekuatan teras PAS menyumbang lebih 50 peratus kepada sokongan terhadap Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 yang lalu,” ujarnya.

Mohd Zuhdi juga menyatakan trend keputusan dari PRK Teluk Intan, PRN Sarawak dan di Kuala Kangsar serta Sungai Besar, menunjukkan pengundi Cina dilihat kembali menyokong BN, dan ini akan memberi ancaman kepada DAP untuk berhadapan dengan PRU ke 14.

Selain daripada itu, menurutnya, trend sedemikian juga menjadi ancaman kepada PKR, sekiranya PAS masuk bertanding di kerusi-kerusi yang mereka menangi di Pantai Barat.