KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen ke-15 Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Naib Pengerusinya Wong Shu Qi memohon supaya dipinda Peraturan Mesyuarat 85, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang tidak membenarkan mesyuarat prosiding PAC dilakukan secara terbuka.

Menerusi kenyataan bersama, Mas Ermieyati dan Wong yang baru dilantik menerajui PAC memohon Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat untuk melakukan pindaan tersebut.

"Kami percaya bahawa prosiding PAC wajar dilakukan secara terbuka bagi memastikan semua prosiding PAC dijalankan secara telus, berakauntabiliti dan berkredibiliti seiring dengan agenda reformasi institusi yang menjadi fokus utama kerajaan pada masa kini," menurut kenyataan itu, hari ini.

Selain itu, sebagai tugas pertama di PAC, mereka juga bersetuju untuk mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Kapal Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) di Lumut, Perak.

Ia bagi mengetahui perkembangan terkini kapal peronda Littoral Combatant Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia yang sepatutnya dilaporkan tempoh setiap tiga bulan kepada PAC.

Mas Ermieyati dan Wong juga bercadang bertemu dengan semua Ex-Officio PAC iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dengan kadar segera bagi membincangkan hala tuju dan hal-hal berkaitan PAC.

Mas Ermieyati dan Wong masing-masing dilantik ke jawatan itu hari ini, selepas usul pelantikan mereka berdua diluluskan di Dewan Rakyat.

Usul pelantikan Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Kluang itu dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pagi persidangan Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai pelantikan itu, mereka berdua menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana mengemukakan usul melantik mereka menerajui jawatankuasa berkenaan.

"Kami percaya ketelusan dan akauntabiliti adalah penting untuk membina kepercayaan orang ramai dan memastikan kerajaan pada masa kini memenuhi keperluan rakyatnya.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan ahli-ahli PAC yang bakal dipilih dalam melaksanakan tanggungjawab dan mandat yang diberikan," menurut kenyataan itu.

Mereka turut menyeru Jawatankuasa Pemilih Parlimen segera melantik 12 ahli PAC yang terdiri daripada lapan Ahli Parlimen kerajaan dan empat pembangkang agar tugas untuk memeriksa tatacara kewangan awam serta memastikan dana awam dibelanjakan secara berhemah dan efisien dapat dilaksanakan.

-- BERNAMA