Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal didakwa menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas lebih setahun meninggalkan UMNO.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Biro Politik PKR Pusat telah menerima permohonan Syed Abu Hussin sebelum ini namun ia harus melalui proses penelitian terlebih dahulu.

“Baru sahaja dipersetujui untuk menerima keahlian beliau pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini,” katanya.

Farhash Wafa berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Bukit Gantang itu ke dalam PKR.

“Dengan pengalaman yang dimiliki beliau, saya yakin ini dapat membantu kerajaan Pakatan Harapan dan memanfaatkan Majlis Pimpinan Negeri Perak pada masa yang sama.

“PKR kini memiliki 51 Ahli Parlimen dan semoga saf parti dirapatkan dalam menjulung Presiden kita sebagai bakal perdana menteri kelapan di masa hadapan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, pautan berikut adalah respons daripada Syed Abu Hussin:

BACA: 'Saya kekal bebas' - Ahli Parlimen Bukit Gantang nafi sertai PKR

Pada 27 Jun 2018, Syed Hussin mengumumkan keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional, dan menjadi Ahli Parlimen bebas berkuatkuasa 1 Julai 2018.

Beliau turut mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang.