KUALA LUMPUR: Pertikaian berhubung logo yang akan digunakan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang perlu diselesaikan dengan baik secara rundingan.

Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada pihak dalam PKR yang mencadangkan gabungan itu menggunakan logo parti PKR, pada masa sama ada parti komponen mahukan logo PH digunakan.

"Saya hormat pandangan akar umbi yang gesa pimpinan (PH) menggunakan logo PKR (dalam PRU15). Saya juga faham dalam konteks PH, ada gesaan daripada teman-teman supaya guna logo PH.

"Jadi biarlah kita runding secara baik untuk dapatkan penyelesaian secara baik, kerana ada hujah-hujah kuat yang dikemukakan kedua pihak," katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Sebelum ini Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan menggesa supaya logo dan bendera parti mereka digunakan calon bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Bagaimanapun Pemuda DAP Wilayah Persekutuan mencadangkan agar barisan pembangkang atas dasar kebersamaan parti di dalam Pakatan Harapan (PH) bersepakat di belakang logo PH pada pilihan raya akan datang.

Dalam PRU14, calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan logo PKR selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang membubarkan sementara pendaftaran parti itu.