KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang menolak usul dikemukakan kerajaan di Dewan Rakyat, hari ini tidak mendatangkan kesan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kedua-dua pihak sebelum ini. 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan malam ini turut menyatakan bahawa usul tersebut bukan sebahagian daripada MoU yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

“Seperti yang dijelaskan beberapa rakan Ahli Parlimen, usul ini bukan sebahagian daripada MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan, dan penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut.

"Saya juga mengambil maklum pertemuan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri siang tadi, dan komitmen beliau untuk membentang Rang Undang-Undang Antilompat Parti dalam satu sidang khas Parlimen pada April,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

BACA: PH tolak usul kerajaan, MoU terbatal - Annuar Musa

BACA: Dewan Rakyat: Usul Kerajaan untuk SOSMA 2012 gagal, 86 berbalas 84 - Speaker

Menurut Anwar, beliau telah mengikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini khususnya berkaitan usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Penghargaan saya buat seluruh saf pembangkang kerana telah menyatakan pendirian yang teguh dan utuh, serta berjaya menolak usul tersebut,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, usul Hamzah untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, gagal melepasi undi belah bahagi.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu berkata, ahli Parlimen yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang.