POLITICS
Perasmian sayap PKR: 'Surat hanya kepada Anwar dan Fuziah, macam mana boleh bocor?' - Rafizi

Rafizi turut persoal mengapa pelancaran Jentera PKR PRN Sabah sepatutnya dilancarkan beliau selaku Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya, namun dilakukan oleh Nurul Izzah dan Amirudin Shari. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan beliau tidak akan merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita yang akan berlangsung di pada 21 Mei depan.
Ringkasan AI
- Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengesahkan beliau tidak akan merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan pada 21 Mei walaupun ia merupakan kebiasaan bagi jawatan tersebut.
- Rafizi menyatakan kekecewaan terhadap kebocoran surat sulit yang hanya ditujukan kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Setiausaha Agung, Datuk Fuziah Salleh, serta mempersoalkan adab serta keputusan dalaman parti yang didakwanya tidak dibincangkan secara menyeluruh.
- Walaupun menolak jemputan perasmian, Rafizi tetap akan hadir di Johor Bahru pada 20 Mei bagi program akhir Jelajah Hiruk sebelum menghadiri Pemilihan dan Kongres Nasional Keadilan pada 23 dan 24 Mei.
“Memang betul saya tulis kepada Datuk Seri Presiden bahawa saya tidak berhajat untuk memenuhi jemputan rasmi kongres AMK dan Wanita.
“Yang bising, yang bocorkan ni pun sumber parti juga. Aku tulis surat kepada tiga orang saja... kepada Datuk Seri Presiden Anwar Ibrahim, salinan kepada Setiausaha Agung saja… eh dua orang saja. Siapa yang bocorkan ni?” soalnya lagi.
Rafizi berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah sempena Jelajah Hiruk di Ipoh, Perak, pada Ahad.
Sebelum ini beberapa media melaporkan kenyataan awal Rafizi untuk tidak merasmikan kongres dua sayap tersebut, biarpun secara tradisi ia dilakukan oleh Timbalan Presiden parti.
Perkara itu disahkan oleh Bendahari AMK, Mohd Hilmy Yakap yang berkongsi kenyataan Rafizi berbunyi – “Dukacita saya maklumkan bahawa saya tidak berhasrat untuk memenuhi undangan (perasmian) ini” dalam media sosialnya.
Pada Ahad, media melaporkan penyandang Ketua AMK Adam Adli mengesahkan menerima salinan surat oleh Rafizi kepada Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau menolak undangan tersebut.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR, Fuziah Saleh dilaporkan sebagai berkata, perkara itu belum disahkan sepenuhnya.
Bercakap mengenai alasan sebenar beliau menolak untuk tidak mengikut kelaziman sebagai seorang Timbalan Presiden untuk merasmikan kongres tersebut, Rafizi berkata pimpinan parti perlu mengikut adab dan hierarki.
“Memang betul adab dan hierarki tradisi parti timbalan presiden rasmi kongres AMK dan wanita. Tetapi adab dalam parti, hierarki dalam parti juga ialah melancarkan jentera pilihan raya sesuatu yang sepenting seperti Pilihan Raya Negeri Sabah itu adalah adabnya dilakukan oleh Timbalan Presiden yang juga Pengarah Pilihan Raya.
“Ada adabnya. Sedangkan kita dah umum bahawa kita akan ada jelajah Hiruk di Sabah pada hari Sabtu, semalam. Kita dah tetapkan 2.30 petang semua dah tahu, masa itu tak ada cerita nak lancar jentera pilihan raya, dan Nurul Izzah akan pergi berkempen di Sabah pada 19hb.
“Tak ada perbincangan dalam Biro Politik, Majlis Pimpinan Pusat, tiba-tiba ada poster menyatakan Izzah dan Amir (Datuk Seri Amirudin Shari) lancar. Hari yang sama, dan masa yang sama. Kau nak pikul (tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya) silalah, saya tak ada masalah," katanya lagi.
Namun Rafizi mempersoalkan gerakan dan keputusan di saat akhir perasmian jentera pilihan raya tersebut, sehingga meletakkan anggota dan akar umbi PKR, khususnya di Sabah berada dalam keadaan tertanya-tanya dan serba salah.
Biarpun Rafizi mengesahkan tidak akan merasmikan kongres sayap tersebut, tetapi beliau tetap akan berada di Johor Bahru pada 20 Mei untuk siri terakhir Jelajah Hiruk, sebelum mengikut Pemilihan dan Kongres Nasional Keadilan pada 23-24 Mei depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami