Skip to main content

Politik

Perbaiki komunikasi, pertumbuhan ekonomi belum cukup dirasai rakyat – Tengku Zafrul

[TB]_Tengku Zafrul_ASTRO AWANI
Beliau berkata meskipun indikator makroekonomi negara termasuk pertumbuhan ekonomi, inflasi dan kadar pengangguran menunjukkan perkembangan positif, namun masih ramai belum merasai limpahan pertumbuhan berkenaan. -Foto Astro AWANI
Advertisement

MELAKA: Kerajaan dan jentera parti perlu memberi tumpuan serius terhadap isu agihan ekonomi serta keberkesanan komunikasi bagi memastikan limpahan pertumbuhan ekonomi negara benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara itu antara yang perlu diberikan perhatian susulan amanat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan dasarnya hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata meskipun indikator makroekonomi negara termasuk pertumbuhan ekonomi, inflasi dan kadar pengangguran menunjukkan perkembangan positif, namun masih ramai belum merasai limpahan pertumbuhan berkenaan.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi sekitar enam peratus yang mengatasi jangkaan dan konsensus pasaran tidak boleh dijadikan ukuran tunggal kerana manfaatnya tidak semestinya diagihkan secara menyeluruh.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa limpahan ekonomi ini tidak serata. Pertumbuhan ekonomi perlu saksama (equitable) dan disebabkan itu, kita perlu melihat semula sesetengah polisi yang telah diumumkan.

“Saya sendiri telah mengemukakan beberapa cadangan untuk memastikan ekonomi negara dirasai oleh semua lapisan masyarakat,”katanya ketika ditemui pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.

Menjawab persoalan sama ada strategi komunikasi ekonomi kerajaan perlu direformasikan, Tengku Zafrul mengakui bahawa masih wujud ruang penambahbaikan yang besar.

Katanya, perkara itu mengambil kira maklum balas pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini, di mana ramai rakyat menyuarakan bahawa mereka tidak mendapat maklumat atau menyedari bantuan-bantuan kerajaan yang telah diumumkan.

“Kita perlu mendengar dan memberi maklumat yang tepat kepada rakyat yang mana isu penyampaian dan komunikasi ini perlu ditambah baik supaya polisi yang digubal benar-benar sampai kepada sasaran," jelasnya.

Zafrul dalam pada itu turut mengingatkan supaya parti tidak terus menyalahkan parti komponen atau pihak lain dalam kerajaan, sebaliknya berani melihat kelemahan sendiri dan melakukan penambahbaikan.

“Kita tidak boleh hanya menyalahkan parti komponen lain atau rakan dalam Kerajaan Perpaduan. ‘We have to look in the mirror’.

“Kita sendiri kena betulkan jentera parti kita kerana ahli parti memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan bantuan kepada rakyat,”katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa rakyat kini sedang menilai prestasi kerajaan dan parti dan menggesa semua pihak untuk menumpukan perhatian kepada reformasi yang diperlukan demi kesejahteraan rakyat.

Must Watch Video

Advertisement