Gabungan Pilihan Raya BERSIH dan Adil (BERSIH) menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memajukan agenda transformasi politik bagi memastikan kestabilan dan akauntabiliti politik selepas PRU15.

Permainan teka tarikh PRU15 sedang menyakitkan negara dengan bukan sahaja ketidaktentuan yang akan mempengaruhi keputusan dalam perkara ekonomi dan kehidupan rakyat, namun juga mengalihkan perhatian menteri dalam urusan pentadbiran.

Sekiranya PM tidak dapat menentukan bila untuk memanggil pilihan raya awal, beliau secara asasnya perlu membentangkan pelan Pentadbiran dan Reformasi bagi baki penggal beliau sehingga 16 Julai 2023. Beliau perlu menunjukkan kepimpinan dan iltizam untuk menstabilkan politik Malaysia.

BERSIH baru sahaja menutup konferens bertajuk “Gearing Up for GE15: What Reforms Do Voters Want”, di mana kami mendengar pandangan ahli politik daripada pelbagai parti dan pakar daripada ahli akademik serta ahli masyarakat sivil berkenaan reformasi penting yang perlu dilakukan sebelum PRU15. Antara reformasi yang dibincangkan di sini adalah:

1. Melaksanakan Had Penggal Perdana Menteri selama 10 tahun
2. Memperkenalkan undi Tidak Percaya Secara Konstruktif
3. Memperkenalkan Penggal Tetap Parlimen
4. Pengasingan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya
5. Menggubal Akta Peruntukan Wakil Rakyat (CDF) di Peringkat Persekutuan dan Negeri
6. Pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Pilihan Raya
7. Memperluaskan Undi Tidak Hadir kepada Pengundi Luar Kawasan
8. Menambahbaik Proses Undi Pos bagi Pengundi di luar negara
9. Memperbaiki Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
10. Mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen
11. Memperkukuh kebebasan, keadilan dan perwakilan Yang di-Pertua dan Timbalannya;
12.Meminda Peraturan Mesyuarat untuk memperkasakan kedua-dua Ahli Parlimen Pembangkang dan Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (backbenchers), dan untuk membolehkan RUU Persendirian

Reformasi institusi yang penting dan mustahak namun belum diperbincangkan adalah:
1. Menggubal Akta Pembiayaan Politik yang termasuk Pendanaan Awam kepada Parti Politik
2. Pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional atau pelan yang serupa.

BERSIH maklum bahawa Ismail Sabri telah mengeluarkan kenyataan pada 19 Mei tahun ini bahawa Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah bersetuju secara prinsip untuk menggubal Undang-Undang Pembiayaan Politik, pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip tata kelola yang baik dan amalan seperti Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun yang akan diperkenalkan, dan kajian pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Kami memuji kerelaan kerajaan Ismail Sabri untuk mempertimbangkan kesemua reformasi ini dan melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Sudah sampai masanya PM mengembalikan keyakinan rakyat kepada proses politik dan pilihan raya, satu sasaran yang perlu disokong oleh semua parti termasuk di barisan kerajaan dan Pembangkang.

BERSIH sedar yang reformasi struktural memerlukan pindaan perlembagaan dan kami menyeru agar semua parti dan Ahli Parlimen, termasuk parti PM sendiri iaitu UMNO, untuk memberikan sokongan mereka kepada agenda reformasi, dan supaya kerajaan memulakan proses perundingan dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan dapatan dan sokongan mereka.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH