Pemilihan UMNO hujung bulan ini, khususnya perebutan jawatan Presiden adalah pertandingan antara adik-beradik dan tidak akan ada perpecahan dalam parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pemilihan kali ini tidak boleh mewujudkan kem Tengku Razaleigh Hamzah atau kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merebut jawatan tertinggi parti keramat Melayu itu.

Katanya, tradisi berpuak-puak yang wujud setiap kali pemilihan parti itu perlu ditinggalkan, khususnya di saat UMNO sedang mencuba untuk bangkit selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

"Yang paling penting, kita tidak ada kem di sini, kita bertanding macam adik-beradik. Yang menang akan menerajui parti, yang kalah akan memberi sokongan pada parti, itu asas pemilihan ini.

"UMNO tidak boleh lagi amalkan konsep apabila ada pertandingan, kemudian yang menang terajui parti manakala yang kalah lari daripada parti. Tak boleh.

"Biarlah 150,000 perwakilan yang membuat keputusan. UMNO tidak boleh berpecah ketika ini kerana kita perlu lebih ramai orang menyumbang kepada parti untuk UMNO maju ke depan," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

BACA: UMNO masih relevan? Hanya Ku Li layak tentukan - Penganalisis politik

BACA: Tengku Razaleigh tawar diri bertanding Presiden UMNO

Beliau mengulas mengenai tawaran Tengku Razaleigh atau Ku Li, untuk bertanding jawatan Presiden UMNO bagi menentang Ahmad Zahid, yang turut mengumumkan pencalonan merebut jawatan sama, sebelum ini.

Turut menawarkan diri bagi jawatan Presiden UMNO adalah usahawan, blogger dan penganalisis politik bebas, Rahmat Azim Abdul Aziz.

Ditanya mengenai kehadirannya ketika sidang media pengumuman Ku Li, Johari berkata beliau hadir atas jemputan bekas Menteri Kewangan itu kerana beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa.

"Bila dijemput, saya datang memandangkan ini (kediaman Ku Li) dalam kawasan saya. Saya pun raya tak balik kampung sebab ini kampung saya," katanya.

Ditanya mengenai sentimen pada peringkat akar umbi sama ada memberi sokongan kepada Ku Li atau Ahmad Zahid untuk menerajui parti, Johari berkata ia akan dapat diketahui dalam tempoh dua minggu akan datang.