POLITIK
Perhimpunan Agung Gagasan Rakyat: Tumpuan terarah ke hala tuju PRN Sabah

Satu seminar penerangan sempena Perhimpunan Agung Tahunan 2025 Gagasan Rakyat berlangsung di Kota Kinabalu hari ini. - Foto Astro AWANI/ASSIM HASSAN
PERHIMPUNAN Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada 26 dan 27 Julai ini bakal menjadi tumpuan penting dalam landskap politik Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tahun ini.
Gagasan Rakyat, sebagai parti teras dalam gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dijangka membincangkan hala tuju besar - termasuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau bertanding secara solo.
Walaupun cakap-cakap sebelum ini menyatakan GRS akan terus bersama PH tanpa keputusan muktamad, majoriti akar umbi dijangka memberi mandat penuh kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk menentukan strategi pilihan raya akan datang.
Hajiji sebelum ini menyatakan kecenderungan untuk meneruskan pakatan dengan PH, namun memberi jaminan bahawa keputusan akhir akan dibuat secara konsensus dalam GRS.Beliau juga telah berbincang mengenai perkara itu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri secara stabil sejak menerajui Sabah pada tahun 2020.

Foto Astro AWANI
Dari sudut kerjasama politik, GRS yang ditubuhkan pasca PRN 2020 berjaya mengekalkan kestabilan pentadbiran melalui pakatan pelbagai parti termasuk Gagasan Rakyat, PBS, STAR, SAPP dan kini bekerjasama dengan PH di peringkat negeri dan Persekutuan.
Walaupun kerjasama GRS-PH dilihat menguntungkan dalam aspek kestabilan politik dan pembangunan, terdapat suara dari dalam gabungan seperti STAR yang mahu GRS bergerak solo bagi mengukuhkan jenama politik tempatan Sabah.
PBS pula menekankan bahawa GRS perlu menjadi dominan dalam sebarang pakatan yang dirundingkan.
Gagasan Rakyat yang kini menguasai lebih 20 kerusi dalam GRS dilihat berada dalam posisi strategik untuk menentukan hala tuju politik Sabah.

Foto Astro AWANI
Pada perhimpunan kali ini lebih 2,000 perwakilan daripada 73 bahagian bakal hadir, sekali gus memberi gambaran bahawa parti ini semakin kukuh di akar umbi.
Perhimpunan ini juga menjadi medan penting untuk memperkukuh struktur organisasi parti dengan penglibatan ketiga-tiga sayap utama - Wanita, Pemuda, dan Beliawanis - yang akan bermesyuarat pada 26 Julai sebelum perhimpunan utama pada 27 Julai.
Perhimpunan ini bakal menjadi titik tolak kepada keputusan besar GRS dan menentukan arah kerjasama politik di Sabah.
Apa juga keputusan, ia akan memberi kesan langsung terhadap kestabilan dan dinamik kuasa di peringkat negeri serta persediaan menghadapi PRN Sabah akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami