KUCHING: Timbalan Presiden I Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini merasmikan Perhimpunan Agung PBB bagi sayap Wanita dan Pemuda.

Uggah yang menggantikan Presiden parti, Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu akan merasmikan dua sayap parti yang dihadiri lebih 500 perwakilan dan pemerhati daripada 82 cawangan.

Ini merupakan Perhimpunan Agung Tritahunan PBB ke-15 melibatkan seramai 2,420 delegasi.

Perhimpunan kali ini bertemakan "Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak".

Perhimpunan yang bermula hari ini itu dimulakan dengan ucapan perasmian sayap Wanita dan Pemuda pada sebelah pagi sebelum diteruskan dengan perbahasan pada petang Jumaat.

Antara yang hadir Timbalan Presiden PBB II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Sri Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Gerald Rentap Jabu.

Pada Sabtu, Pada Sabtu, Abang Johari yang juga Premier Sarawak dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijadualkan merasmikan perhimpunan agung peringkat induk sekitar jam 10.00 pagi, sebelum menyampaikan ucap tamanya pada sebelah petang.

Ucapan perasmian dan ucap tama pada kali ini dijangka penting, kerana ia merumus hala tuju parti itu, yang memasuki era baharu, sebelum mencapai status jubli emas pada tahun hadapan. Pada 30 April lalu, parti ini telah berusia 49 tahun.

Antara isu yang akan diangkat serta diperdebat termasuklah isu Perjanjian Malaysia 1963; politik baharu Malaysia menjelang PRU ke-15; dana kedaulatan; ekonomi hidrogen; penguasaan ruang udara Sarawak serta deposit dan stok karbon.