"Mungkin inilah yang dikatakan sebuah sandiwara sepertimana pelakon-pelakon hebat memenangi anugerah sehingga mampu membuatkan kita percaya bahawa lakonan mereka adalah benar."

Itulah analogi yang digambarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim susulan pertemuan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini pada Isnin.

Malah, beliau menyifatkan Anwar seolah-olah hilang ingatan susulan tindakan yang dilakukan Tun Mahathir kepadanya sebelum ini.

"Kehadiran Tun Mahathir ke mahkamah sambil bersalaman dengan Anwar bagaikan sebuah filem di pawagam yang realitinya adalah tidak mungkin terjadi. Hakikatnya, Anwar bagai orang yang telah hilang ingatan terhadap apa yang seterunya pernah lakukan.

BACA: Pertemuan Mahathir-Anwar tidak kukuhkan pembangkang - Nur Jazlan

BACA: Perjumpaan Tun Mahathir, Anwar tindakan politik terdesak - TPM

BACA: Pertemuan Tun Mahathir-Anwar: 'UMNO jangan sombong dan berlagak' - Armand

"Selama 18 tahun mereka tidak bertentangan mata dan kini dilihat boleh berjabat tangan sambil tersenyum," katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, Tun Mahathir dilihat terdesak dengan bertindak menentang setiap agenda dan tindakan yang dibawakan kerajaan.

"Sokongan Tun Mahathir terhadap Anwar untuk menentang akta MKN (Majlis Keselamatan Negara) ini boleh disifatkan sebagai agenda politik semata-mata.

"Kesungguhan beliau dalam menentang setiap tindakan kerajaan juga dilihat lebih terdesak dan sanggup untuk memilih seterunya sendiri yang pernah disabitkan tuduhan seksual, seks di luar tabii," katanya yang kini berada di Vientiane, Laos sempena Persidangan Parlimen-Parlimen ASEAN.

Malah, beliau menafikan dakwaan pembangkang yang kononnya kuasa Yang Di-Pertuan Agong telah diambil menerusi pelaksanaan Akta MKN.

"Perdana Menteri diberi lebih kuasa adalah tidak benar. Menurut Seksyen 18 Akta MKN, pengisytiharan kawasan keselamatan hendaklah dilakukan atas nasihat MKN. Ianya bukannya kuasa Perdana Menteri untuk isytihar kerana hanya dengan nasihat MKN sahaja.

"Perdana Menteri juga tidak boleh membuat keputusan yang boleh dibuat oleh ahli MKN dan secara khususnya mempunyai prosedur yang perlu dilaksanakan sebelum mengisytiharkan kawasan keselamatan," katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan mengambil inisiatif dalam memberikan penerangan mengenai undang-undang tersebut.