Kuala Lumpur: Peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Ahli Parlimen adalah sesuai dengan keadaan semasa kedudukan kewangan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) memahami kedudukan kewangan negara yang tidak mengizinkan perbelanjaan yang terlalu besar.

"Kita tahu belanjawan yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini ada kekangan dari segi menguncupkan perbelanjaaan seimbang. Ini untuk menurunkan defisit belanjawan daripada 5.5 kepada 5 peratus.

"Tentunya Perdana Menteri akan menambah peruntukan itu jika kedudukan kewangan negara bertambah baik." katanya ketika ditemui media di Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 2023, hari ini.

Kerajaan Perpaduan | PM sahkan peruntukan tahunan Ahli Parlimen dikurangkan

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid mengakui cabaran yang dihadapi oleh wakil rakyat untuk melaksanakan tugas di kawasan masing-masing dengan peruntukan yang kecil.

Namun, beliau nasihatkan supaya semua pihak menerima ketetapan semasa dengan hati terbuka.

"Atas kekangan kewangan itu kita perlu sabar sebentar. Perdana Menteri akan menggunakan budi bicara terbaik untuk menambah peruntukan itu sama ada di akhir tahun atau tahun hadapan.

"Kita ada empat tahun setengah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Jadi, perkhidmatan Ahli Parlimen harus terus diberikan kesinambungan biarpun peruntukan kewangan adalah sedikit.

"Jika sedikit kita beri sedkit, jika banyak tentu kita berkongsi lebih banyak dengan kawasan yang kita wakili." jelasnya lagi.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahkan peruntukan pembangunan tahunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Wakil Rakyat | Pemotongan peruntukan kepada Ahli Parlimen wajar