KUALA LUMPUR: Selepas dua minggu dilancarkan, jumlah tandatangan dua petisyen masing-masing memohon Datuk Seri Najib Razak diampunkan dan sebaliknya, dilihat bergerak semakin perlahan, tidak rancak seperti awal-awal dilancarkan.

Tinjauan Astro AWANI terhadap kedua-dua petisyen itu mendapati jumlah tandatangan tidak menunjukkan pertambahan yang mendadak, hanya sedikit peningkatan berbanding hari-hari sebelumnya.

Setakat jam 10 malam tadi, petisyen daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengesyorkan agar Ahli Parlimen Pekan itu tidak diampunkan merekodkan lebih 121,000 tandatangan.

Petisyen tersebut belum mencapai angka 150,000 selepas agak pantas mencecah angka 100,000 sebaik beberapa hari dilancarkan.

Situasi sama juga dilihat berlaku kepada petisyen Solidariti Pengampunan Diraja Untuk Najib Razak yang digerakkan BNComms Selangor.

Setakat artikel ini ditulis, petisyen tersebut hanya berjaya mengumpul lebih 31,000 tandatangan.

Difahamkan, kemungkinan jumlah peningkatan tandatangan yang perlahan berpunca daripada kes Najib yang tidak lagi begitu hangat diperkatakan.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.