PUTRAJAYA: Taklimat Khas Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti berlangsung di Dewan Sri Endon di sini bermula jam 4.30 petang Ahad.

Barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet serta Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat hadir bagi mengikuti taklimat tersebut.

Bagaimanapun pemerhatian Astro AWANI mendapati tiada Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) tiba untuk menghadiri taklimat itu.

Difahamkan, PH turut mengadakan taklimat mengenai RUU berkenaan yang dijadualkan bermula 4.45 petang Ahad.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan di mana lokasi pertemuan itu diadakan.

Menurut salah seorang Ahli Parlimen Pembangkang, memetik laporan The Vibes, taklimat itu bagi membincangkan implikasi RUU terbabit terutama pada Perkara 10.

BACA: PM, Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen hadir taklimat khas mengenai RUU Antilompat Parti

"Ya, ia bercanggah dengan taklimat PM, tetapi saya akan menghadiri taklimat PH sebaliknya. Kami bimbang tentang sifat meluas dan implikasi undang-undang pada Perkara 10. Implikasinya agak serius.

"Kami sedang meneliti undian penarikan balik. Nampaknya mereka mahu memukul nyamuk, tetapi mereka akan memusnahkan keseluruhan sistem. Ia adalah keterlaluan, dan kami perlu mempertajam tafsiran untuk memberi tumpuan hanya kepada Rang Undang-Undang Antilompat Parti," jelas Ahli Parlimen itu.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen turut memberikan reaksi yang sama terhadap Rang Undang-Undang berkenaan agar ianya di semak semula.