Pakatan Harapan (PH) Johor mendakwa mendapat sokongan daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata jumlah terkumpul itu diperoleh melalui DAP, PKR dan Amanah.

Bercakap kepada media pada satu sidang media malam tadi, beliau berkata, majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Manakala 34 kerusi diperlukan bagi mendapatkan majoriti dua pertiga kerusi DUN.

"Untuk menyatakan kepada semua media dan seluruh rakyat Malaysia, pertama, PH negeri Johor dengan ini menjelaskan kami mempunyai sokongan 28 ADUN dengan pecahan seperti berikut.

"Dan semua hadir pada himpunan malam ini," kata Aminolhuda pada sidang media yang turut dihadiri beberapa ADUN.

Pada Selasa, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad mendakwa sudah mendapat sokongan daripada 33 ADUN termasuk lima daripada PH, bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Jumlah itu membabitkan 17 ADUN UMNO, MIC dan Pas, selain 11 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tiga PKR dan dua Amanah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kemudiannya, PH Johor menegaskan 28 ADUN daripada pakatan itu terus kekal bersama PH.

Pakatan itu turut mengambil maklum pelantikan Hasni sebagai Menteri Besar negeri itu yang ke-18.

"Kami berpandangan bahawa keadaan buntu ini akan menyukarkan urusan yang memerlukan kelulusan Dewan Negeri," kata pakatan itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan terus berkhidmat kepada rakyat sesuai dengan mandat yang diberikan kepada pakatan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada Jumaat, Hasni, 61, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu di Istana Bukit Serene di sini petang tadi untuk menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hasni bakal memimpin kerajaan negeri Gabungan Baharu yang merangkumi BN, PAS dan Bersatu.