Skip to main content

Politik

PH kempen guna angka ekonomi, adakah rakyat faham? - Penganalisis

SEREMBAN, 20 Julai -- Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan (PH) merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bergambar selepas Majlis Peluncuran Manifesto Pakatan Harapan di sebuah hotel, hari ini.  Turut sama Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman (tiga, kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mazlan berkata kerajaan negeri di bawah PH telah menunjukkan pencapaian yang baik dari segi pembangunan serta urus tadbir, termasuk di Pulau Pinang dan Selangor sejak 2008 serta Negeri Sembilan sejak dua penggal lalu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Strategi Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan pencapaian pentadbiran sama ada di peringkat negeri atau persekutuan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dinilai semula.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali, ragu-ragu keberkesanan strategi tersebut dalam menarik perhatian rakyat atau pengundi. 

Beliau berpandangan angka dan indikator ekonomi yang dibawa oleh PH seharusnya diangkat dengan strategi yang lebih berkesan.

“Adakah difahami oleh rakyat terutamanya warga desa atau peneroka FELDA, perkara ini perlu dinilai semula oleh PH,” katanya semasa wawancara bersama Astro AWANI hari ini.

Mazlan berkata PH juga sering membawa isu yang sudah lama seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga beberapa isu semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 lalu.

Tambahnya, isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji yang timbul ketika minggu kedua kempen PRN Negeri Sembilan juga tidak dapat menarik sokongan pengundi terhadap PH.

“Nampaknya tidak begitu berkesan… PH perlu memahami kehendak dan tingkah laku serta suasana yang berlaku ketika pilihan raya diadakan,” katanya.

Image
Dr Mazlan Ali_FB Lebih Masa
Angka dan indikator ekonomi yang dibawa oleh PH seharusnya diangkat dengan strategi yang lebih berkesan, ujar Mazlan Ali.

Menurut Mazlan, secara keseluruhannya beliau menilai kerajaan negeri di bawah PH yang diterajui DAP, PKR dan Amanah telah menunjukkan pencapaian yang baik dari segi pembangunan serta tadbir urus, termasuk di Pulau Pinang dan Selangor sejak 2008 serta Negeri Sembilan sejak dua penggal lalu.

Jelasnya, PH telah membuktikan keupayaannya sebagai sebuah parti dan gabungan yang mampu mentadbir negara dengan baik, khususnya dari aspek tadbir urus (governance).

Namun, menurut Mazlan, antara kelemahan PH ialah kegagalannya menghebahkan pencapaian pentadbiran serta kejayaan urus tadbir kerajaan kepada rakyat.

Banyak kejayaan itu tidak sampai kepada pengetahuan rakyat. Mungkin disebabkan kurangnya promosi, atau maklumat yang disampaikan tidak berjaya sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya lagi.

Mazlan yang juga penganalisis politik mengesyorkan agar kerajaan PH memperkasakan aspek penyampaian maklumat supaya dasar serta pencapaian pentadbiran dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Menurutnya, sekiranya usaha itu dapat dipertingkatkan, ia berpotensi menarik sokongan sebahagian pengundi yang menilai sesebuah kerajaan dan parti berdasarkan prestasi pentadbiran mereka.

Sejak PRN Sabah pada November 2025, diikuti PRN Johor pada Julai dan PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, PH terus merekodkan penyusutan sokongan apabila hanya memenangi satu kerusi DUN di Sabah, lapan kerusi di Johor dan 11 kerusi di Negeri Sembilan.


 

Must Watch Video

Advertisement