PUTRAJAYA: Dua minggu selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'membuka cerita' situasi berlaku di dalam Istana Negara sebelum Istiadat Mengangkat Sumpah di Istana Negara.

Jelasnya, beliau harus menjelaskan situasi tersebut kerana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Anwar untuk menghebahkan perkara tersebut kepada rakyat.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah menitahkan, penjelasan itu adalah perlu agar tidak menimbulkan kekeliruan dan menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Pada masa itu jumlah kerusi terbesar ialah Pakatan Harapan (PH), dan diikuti Perikatan Nasional (PN), kemudian ada usaha dapatkan akuan sumpah. Ini terus berlaku dalam tempoh ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong, sehingga jam 2 petang.

"Berapa pun jumlah diperolehi, itu telah ditetapkan waktunya. Seperti mana dalam perlumbaan, dia boleh potong pusingan pertama, kita potong di pusingan ketiga, tetapi yang penting garis penamat.

"Apabila di garis penamat, saya perolehi jumlah terbesar… kerana orang beri pengakuan (Akuan Bersumpah) sebelumnya telah menarik balik (sokongan) sebelum tempoh 2 petang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mengadakan pertemuan mahabbah bersama Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usul Undi Percaya dalam Dewan Rakyat pada 19 Disember diadakan kerana beliau mahukan mandat yang lebih jelas untuk memimpin negara.

"Rasa perlu untuk adakan undi percaya kerana jumlah jelas dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti kecil lain.

"Saya jawab, 'ampun Tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang dibangkitkan, tapi kerana saya mahu memimpin dengan mandat yang jelas, patik yakin perolehi majoriti. Andai kata tidak perolehi, patik akan tunduk dengan suara rakyat'," ujarnya.