KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) sedia untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat tanpa melibatkan kleptokrat.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH mengambil pendekatan “Khemah Besar” bagi menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik mereka bagi memulihkan demokrasi negara.

Kenyataan itu menyebut perkara itu diputuskan dalam pemukiman PH selama dua hari yang berakhir pada Jumaat. 

“Kami akan terus gigih berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

“Ini penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ia ditandatangani bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PH akan mengumpulkan tandatangan semua ahli parlimen yang menyokong pembukaan semula parlimen menerusi satu memorandum untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“(Ini) senafas menjunjung titah nasihat Agong bahawasanya darurat tidak menghalang parlimen untuk bersidang.

“Kami menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat,” kata kenyataan itu lagi.