Calon PKR Dewan Undangan Negeri (Dun) Nangka, Abdul Raafidin Majidi hari ini mengajak Dr Anuar Rapaee untuk berdebat pada 1 Mei ini bagi memperjelaskan kenyataan calon Barisan Nasional (BN) itu berhubung sokongan pengundi Cina.

Merujuk kepada kenyataan Dr Anuar yang disiarkan dalam akhbar Sin Chew Jit Poh pada 23 April, Raafidin mendakwa kenyataan Dr Rafaee seolah-olah memperkecilkan pengundi kaum Cina di Dun Nangka.

"Saya ingin mengingatkan Dr Anuar Rafaee bahawa jumlah pengundi kaum Cina yang bakal mengundi di kawasan Dun Nangka adalah berjumlah 4,479 pengundi.

"Kenyataan Dr Anuar bahawa BN hanya mensasarkan 500 undi menunjukkan keangkuhan, yang tidak memandang berat terhadap undi kaum Cina di Dun Nangka.

"Ini sekaligus menunjukkan bahawa Dr Anuar sendiri tidak yakin bahawa beliau akan mendapat sokongan di beberapa kawasan pengundi kaum Cina di sekitar DUN Nangka," dakwanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Nangka, di sini.

Petikan kenyataan Dr Anuar yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina itu antara lain dikatakan berbunyi: "Dalam PRN tahun 2011, saya hanya mendapat 200 undi daripada pengundi Cina. Kali ini, saya hanya merayu untuk mendapat 500 undi daripada pengundi Cina."

Menurut Abdul Raafidin yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak itu, platform debat itu juga akan digunakan bagi menjelaskan manifesto kepada pengundi Dun Nangka.

"Mungkin Dr Anuar boleh mengambil kesempatan ini untuk menerangkan kepada pengundi di Dun Nangka sendiri apakah manifesto beliau dan saya juga akan menerangkan manifesto saya. Ketika itu, pengundi Dun Nangka boleh menilai manifesto mana lebih elok untuk pengundi di Dun ini," katanya.

Katanya, debat juga akan mengetengahkan isu-isu semasa termasuk kebajikan pengundi Nangka.

"Masalah biasanya di Dun Nangka ini adalah kebajikan rakyat yang belum dapat diselesaikan seperti di Kampung Jeriah, masalah parit sehingga masih belum diselesaikan. Masalah parit tersebut telah mengundang penyakit denggi dan kebanyakan infrastruktur di kawasan kampung di Dun Nangka masih dalam keadaan yang amat sedih," katanya.

Sekiranya mendapat persetujuan, debat yang dicadangkan pada 8 malam, 1 Mei itu akan berlangsung di hadapan Surau Kampung Datuk.