Pertembungan DAP dan PKR di kerusi N.19 Mambong satu isyarat awal yang membuka peluang kemenangan bagi Barisan Nasional (BN).

Calon langsung BN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, ia tanda pembangkang sudah berpecah selain membuktikan kesepakatan mereka yang semakin rapuh.

"Kami di BN Mambong turut lega apabila pertembungan DAP dan PKR secara rasmi terjadi selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.

"Ini ramalan saya. Mereka akan berebut untuk mengambil undi pembangkang. Dalam pengalaman saya, mereka sudah berpecah dua.

"Kalau satu penjuru ia susah, pengundi pembangkang ada kekuatan mereka. Bagus mereka berpecah. Mereka tidak ada kesepakatan dan tiada hala tuju sebenarnya," katanya semasa ditemui selepas pengumuman calon yang akan bertanding di Mambong di sini hari ini.

Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak akan diadakan pada 7 Mei depan.

Mambong menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Dr Jerip yang akan bertemu calon PKR, Willie Mongin dan calon DAP, Sanjan Daik.

Dr Jerip merupakan penyandang kerusi Mambong (dahulu dikenali Bengoh).

Dr Jerip juga merupakan Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak sebelum Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 11 April lalu.

Pada PRN ke-10, Dr Jerip menang dengan majoriti 3,646 undi.

Pada PRN kali ini, seramai 17,467 mendaftar menjadi pengundi di Mambong dengan majoriti kaum adalah Bidayuh.