Skip to main content

Politik

Pimpinan Bersatu Johor kemuka memorandum desak Hamzah Zainudin dipecat

81739464331_tbBersatu.jpg
Memorandum itu menegaskan kesan daripada tindakan Datuk Seri Hamzah Zainudin amat besar terutama ketika parti Bersatu sedang membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Kepimpinan parti Bersatu Johor pada Khamis menghantar memorandum rasmi mendesak supaya Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat serta-merta daripada jawatan Timbalan Presiden dan keanggotaan parti.

Memorandum yang ditandatangani barisan ketua bahagian, pimpinan negeri serta wakil sayap parti Bersatu Johor, itu diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Advertisement

Dokumen itu menyebut tuntutan mereka  adalah keputusan muktamad yang tidak boleh dirunding.

Tambah memorandum itu, desakan dibuat bukan kerana sentimen politik atau perbezaan pandangan, sebaliknya berasaskan salah laku kepimpinan yang berat, pelanggaran perlembagaan parti secara sistematik serta kegagalan moral.

“Kami dengan ini mengisytiharkan bahawa kepercayaan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin telah runtuh sepenuhnya, khususnya berhubung kegagalan beliau yang berpanjangan dan kritikal di Johor.

"Hamzah gagal menguruskan tindakan bertentangan perlembagaan parti oleh penyokongnya di Johor. Ini membuktikan ketidakupayaan beliau untuk memimpin, mengawal dan menyatukan parti.

"Ia juga mencerminkan kegagalan kepimpinan yang struktural dan tidak boleh diperbaiki," ujar memorandum tersebut.

Memorandum terbabit turut memuatkan pelbagai lagi dakwaan lain, termasuk kegagalan Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya, pincang meredakan krisis dalaman sayap parti, serta membiarkan penyokong bertindak dengan cara yang menjejaskan imej Bersatu.

Memorandum itu juga menimbulkan dakwaan bahawa tindakan tertentu Hamzah telah mencabar kewibawaan institusi Presiden dan menimbulkan persepsi negatif terhadap parti di mata rakyat.

Menurutnya, kesan daripada situasi itu amat besar terutama ketika parti sedang membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.

“Rentetan salah laku dan kegagalan ini telah menjejaskan dan merosakkan autoriti kepimpinan parti, menghakis kepercayaan akar umbi serta mencemarkan imej Bersatu di mata rakyat.

"Kepimpinan Johor mendesak Lembaga Disiplin menjalankan prosiding segera dan menjatuhkan hukuman pemecatan, manakala MPT diminta menggunakan kuasa perlembagaan bagi menamatkan jawatan serta keanggotaan Hamzah tanpa sebarang kompromi.

"Pada tahap ini, pemecatan bukan lagi pilihan, ia adalah keperluan mutlak,” kata memorandum berkenaan.

 

Must Watch Video