KOTA KINABALU: Sabah berpotensi menjadi hab industri kreatif baharu negara kerana keunikan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya yang dimiliki negeri itu.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac berkata Sabah mempunyai kelebihan tersendiri kerana memiliki laut, gunung-ganang dan kawasan bandar selain kepelbagaian budaya serta nilai sejarah yang tinggi.
Advertisement
“Pelbagai budaya ada di Sabah dan warisan sejarahnya juga sangat kaya. Ini memberi peluang sangat baik untuk industri kreatif berkembang,” katanya kepada pemberita selepas program Bengkel Autopsi Persediaan Sesi Pitching dan Sesi Libat Urus Industri Kreatif disini hari ini.
Lebih 70 penggiat seni Sabah terlibat dalam bengkel sehari itu, yang turut dihadiri panel terdiri daripada Penerbit dan Pengarah Filem Mohan Rao, Ahli Perbadanan Finas Rozaidi Abdul Jamil dan Yee I-Lann (SHE).
Hans berkata perkara utama perlu diperlu perhatian ialah bagaimana potensi Sabah dapat diteroka dan dijenamakan dengan lebih berkesan sekali gus memperkukuh jenama negeri itu sebagai destinasi industri kreatif.
Beliau berkata pelbagai latihan termasuk aspek kewangan telah dilaksanakan di Sabah khusus untuk penggiat industri kreatif dengan tumpuan kepada persediaan pembentangan cadangan (pitching).
Sebelum ini, penggiat industri di Sabah terpaksa ke Semenanjung untuk membuat pembentangan bagi mendapatkan dana, dan perlu menanggung sendiri kos perjalanan, penginapan serta perbelanjaan lain.
“Sekarang kita sudah ubah keadaan itu, kita sediakan peruntukan khas kepada Sabah. Sebelum ini, tiada bajet khusus,” katanya sambil menambah pelaksanaan Akta Baharu FINAS 244 secara holistik dijangka dapat membantu semua pemain industri kreatif termasuk di Sabah.
Hans turut memuji pendekatan kerajaan negeri yang tidak mengenakan cukai hiburan terhadap pawagam, menjadikan Sabah satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan dasar berkenaan.
“Sabah tidak ada duit hiburan untuk pawagam. Saya harap negeri-negeri lain akan ikut cara Sabah,” katanya.
Sementara itu, Rozaidi berkata FINAS kini sedang dalam proses membangunkan sistem data di bawah Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) untuk mengumpul data kebajikan penggiat seni terdiri daripada mereka yang mengalami masalah kesihatan, serta yang telah menerima sumbangan.
Beliau berkata setakat ini lebih 400 penggiat seni di seluruh negara termasuk lebih 20 di Sabah telah menerima bantuan FINAS menerusi Ziarah Seni MADANI dalam usaha meringkan beban mereka.
“Melalui MyCAP ini, kebajikan dapat diberikan secara sistematik. Ia juga akan memberi maklumat bukan sahaja kepada FINAS tetapi kepada penggiat seni di Sabah yang pernah menerima sumbangan,” katanya.
Pada majlis itu, Hans turut menyampaikan sumbangan kepada penggiat seni tempatan iaitu Jaipin Leggau.
-- BERNAMA
TAG: Finas, hab kreatif, Sabah, Han Isaac, penggiat seni