POLITICS
PKR fokus perkukuh jentera, sasar kerusi Parlimen lebih banyak - Nik Nazmi

Nik Nazmi berkata walaupun ada pihak menyasarkan kemenangan besar mencecah 80 hingga 90 kerusi Parlimen, PKR perlu berlandaskan kepada realiti semasa. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerlukan barisan kepimpinan terbaik serta strategi realistik untuk memperkukuh jentera pilihan raya dalam usaha menambah jumlah kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ringkasan AI
- Keperluan Kepimpinan & Strategi Realistik: Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, menekankan kepentingan kombinasi kepimpinan yang betul dan strategi yang lebih realistik bagi memperkukuh jentera pilihan raya.
- Sasaran Kerusi Parlimen: PKR kini memiliki 30 kerusi dan berusaha meningkatkan jumlah tersebut. Walaupun ada pihak menyasarkan 80-90 kerusi, Nik Nazmi mengingatkan perlunya sasaran berpandukan realiti semasa.
- Peranan Kelantan: Kelantan dilihat sebagai wilayah penting dalam usaha meningkatkan kerusi PKR dan Pakatan Harapan, dengan keyakinan bahawa masa sudah tiba untuk mengukuhkan sokongan di negeri itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Zon Kelantan dan Terengganu di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjong Chat, di sini malam tadi.
Nik Nazmi berkata walaupun ada pihak menyasarkan kemenangan besar mencecah 80 hingga 90 kerusi Parlimen, PKR perlu berlandaskan kepada realiti semasa, iaitu memiliki hanya 30 kerusi ketika ini dengan pencapaian terbaik parti setakat ini ialah 47 kerusi.
"Kita kena tengok secara realistik. Daripada 30 kerusi sekarang, nak pergi ke mana? Apa sasaran yang betul dan bagaimana strategi untuk bawa kita ke situ?
"Saya yakin, insya-Allah kalau kita ada kombinasi kepimpinan yang betul, kita akan dapat melakar strategi berkenaan," katanya.
Beliau turut menekankan peranan penting Kelantan dalam membantu menyumbang kepada peningkatan jumlah kerusi Parlimen untuk PKR dan Pakatan Harapan secara keseluruhan.
"Kalau kita nak sampai 50 kerusi ke atas, mahu tidak mahu Kelantan perlu menyumbang kepada kerusi Parlimen untuk Keadilan dan Pakatan Harapan.
"Kelantan tidak boleh tertinggal dan saya rasa masanya sudah tiba. Kesedaran sudah ada, masanya sudah tepat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami