Skip to main content

Politik

PKR komited runtuhkan tembok perkauman, yakin kekal relevan 100 tahun lagi - Amirudin

Amirudin Shari
Amirudin berkata, cabaran terbesar pada tembok terakhir ini adalah mengekalkan politik keadilan kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa meminggirkan asas Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan Melayu sebagai teras.
Advertisement

AYER KEROH: PKR kini berada pada landasan dan fasa keluk terakhir untuk melengkapkan proses pembaharuan institusi serta meruntuhkan tembok politik sempit perkauman di negara ini.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selepas hampir 30 tahun perjuangan reformasi digerakkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai kejayaan pembaharuan dasar telah dicapai termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pelonggaran kawalan media cetak, dan terbaharu komitmen untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Menurut beliau, cabaran terbesar pada tembok terakhir ini adalah mengekalkan politik keadilan kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa meminggirkan asas Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan Melayu sebagai teras.

"Pesaing kita tahu, jika tembok perkauman ini runtuh, iaitu tembok pertarungan yang selama ini menjadi asas parti mereka, PKR akan menerajui dan mengetuai perubahan ini sehingga usia 100 tahun dan kekal relevan.

"Hari ini, apabila kita beri peruntukan kepada sekolah Cina atau India, mereka segera tuduh orang Melayu dan Islam terabai. Kita mesti buktikan bahawa kita mampu berlaku adil kepada semua rakyat tanpa menjejaskan tonggak perlembagaan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada Ahad.

Menyentuh soal integriti dan tatakelola, Menteri Besar Selangor itu menempelak retorik pihak lawan yang sering mendakwa memperjuangkan bangsa dan agama, namun bersikap berdiam diri apabila melibatkan ketirisan dana institusi utama seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

Amirudin turut mengingatkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah mengenai fahaman asabiyyah, iaitu sikap taasub membantu kaum sendiri dalam perkara kemungkaran atau jenayah.

"Bangsa apa yang rela melihat dana Tabung Haji digelapkan? Bangsa apa yang membiarkan keuntungan vendor berbilion ringgit tanpa akauntabiliti? Kita perlu tunjukkan apakah erti pejuang dan kecintaan kepada bangsa yang sebenar.

"Kecintaan kepada bangsa bukan bermaksud menutup atau membela kemungkaran. Soal ketelusan wang umat Islam dalam Tabung Haji telah dijawab dengan jelas dan tuntas oleh Menteri Kewangan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)," tegas beliau.

Must Watch Video

Advertisement