Keadilan Perak meletakkan bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan sebagai calon kerusi Dun Hutan Melintang yang dimenangi parti itu pada pilihan raya lalu.

Pemilihan Manivannan bagi menggantikan penyandang kerusi berkenaan, S Kesavan yang bakal bertanding di Parlimen Sungai Siput.

Pengumuman itu dibuat sempena majlis memperkenalkan calon PKR Perak, hari ini yang turut dihadiri Pengerusinya, Dr Muhammad Nur Manuty.

Pilihan raya kali ini turut menyaksikan dua lagi penyandang iaitu Laksamana (B) Mohamad Imran Abd Hamid dan Chang Lih Kang ditawar bertanding di kerusi lain.

Mohamad Imran diumum bertanding di Dun Bukit Chandan selepas kerusi Parlimen Lumut diserahkan kepada gabungan parti itu dalam Harapan iaitu Amanah, sementara Lih Kang beralih dari kerusi Dun Teja ke Parlimen Tanjung Malim.

Tempat beliau akan digantikan dengan calon baharu, Sandrea Ng Shy Ching yang merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gopeng.

PKR turut mengesahkan meletakkan calon mereka mewakili Harapan di lima kerusi Parlimen dan 14 kawasan Dewan Negeri.

Muhammad Nur berkata, antara penyandang yang masih dikekalkan bertanding di kerusi sama ialah Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau), Chua Yee Ling (Kuala Sepetang) Tan Kar Hing (Simpang Pulai) dan Dr Lee Boon Chye (Parlimen Gopeng).

Menurutnya, pada PRU14 kali ini, PKR Perak mempertaruhkan 10 muka baharu dengan lapan daripadanya adalah kalangan belia dengan calon paling muda berusia 29 tahun yang bakal bertanding di Dun Batu Kurau.

“Kita juga mengiktiraf peranan wanita dengan membariskan tiga calon wanita masing-masing di Dun Kenering, Kuala Sepetang dan Teja.

“Semua barisan calon ini telah dinilai menepati keseimbangan dan kehendak segenap komposisi kaum selaras dengan prinsip keadilan yang dibawa parti,” katanya.

Mengulas mengenai peralihan beberapa kerusi penyandang, beliau berkata, ia satu proses biasa dilakukan mana-mana parti selepas mengambil kira beberapa faktor yang boleh menentukan kemenangan.

“Mereka yang tercalon juga telah memulakan gerak kerja di kawasan masing-masing dibantu kekuatan jentera parti sedia ada,” katanya.

Menjawab soalan media berhubung pemilihan Manivannan yang bukan calon tempatan di Hutan Melintang, Muhammad Nur berkata, pengalaman sebagai orang lama dalam politik akan membantu beliau mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan.

Katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat, Manivannan telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan memperjuangkan isu rakyat di seluruh negara.

“Bukan masalah besar untuk kita memperkenalkan beliau di kawasan itu (Hutan Melintang),” katanya.

Muhammad Nur turut mengesahkan, bahawa beliau tidak tersenarai sebagai calon kali ini adalah atas kehendak sendiri bagi memberi ruang kepada nama baru.

Pada PRU13 lalu, calon PKR menang di Parlimen Lumut, Sungai Siput dan Gopeng manakala di peringkat negeri, parti itu menang di lima kerusi masing-masing Kuala Kurau, Kuala Sepetang, Simpang Pulai, Teja dan Hutan Melintang.

Senarai calon PKR Perak

PARLIMEN

Padang Rengas: Ejazi Yahya

Sungai Siput: S Kesavan

Gopeng: Dr Lee Boon Chye

Bagan Datuk: Pakhrurrazi Arshad

Tanjung Malim: Chang Lih Kang
DUN

Kenering: Nor Sham Abu Samah

Batu Kurau: Muhd Aiman Aizuddin

Kuala Kurau: Abdul Yunus Jamhari

Alor Pongsu: Ahmad Zaki Husin

Kuala Sepetang: Chua Yee Ling

Chenderoh: Khairul Anuar Musa

Lintang: Madhi Hassan

Hulu Kinta: Muhamad Arafat Varisai Mahamad

Bukit Chandan: Laksamana (B) Mohamad Imran Abd Hamid

Tualang Sekah: Mohd Azlan Helmi

Simpang Pulai: Tan Kar Hing

Teja : Sandrea Ng Shy Ching

Sungai Manik: Mohamad Maharani Md Tasi

Hutan Melintang: G Manivannan (PKR)