PUTRAJAYA: PKR perlu sentiasa bermusyawarah dengan gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi mempertahankan pentadbiran sehingga tamat tempoh penggal, kata Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, kekuatan Kerajaan Perpaduan bukan hanya bersandarkan kepada PKR semata, malah turut melibatkan gabungan parti daripada beberapa parti politik yang lain.

"Dalam pakatan kita yang besar, ada berbelas parti yang bersama dalam kerajaan. Untuk itu, penting kita memastikan bahawa kekuatan Kerajaan Perpaduan adalah dari segi gabungan.

"(Justeru) saya memohon saudari-saudari mempunyai sedikit kesabaran dan komitmen untuk melihat bahawa Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang formulanya berlandaskan muafakat dan juga campuran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, yang dihadiri seramai 475 perwakilan dan 287 pemerhati.

Fadhlina dalam pada itu mengingatkan para perwakilan agar menyelesaikan sebarang isu dalaman dengan cara profesional termasuk mengadakan mesyuarat.

"Tunjangnya adalah amanah...soal bergaduh, salah faham, tak puas hati dalam urusan parti ini perlu diuruskan secara profesionalisme...kena diuruskan melalui mesyuarat.

"Disiplin-disiplin parti mestilah dipatuhi untuk pastikan soal teras ini benar-benar kita angkat dalam konteks kepimpinan kita," katanya.

Menyentuh mengenai rasuah, beliau meminta para perwakilan untuk terus menyampaikan mesej perjuangan dan semangat parti dalam melawan amalan buruk itu serta mengangkat nilai baik sehingga ke peringkat akar umbi.

"Perkara yang membezakan kita dengan kerajaan sebelum ini adalah kekuatan nilai itu yang cukup kita jaga dan pertahankan selama ini," katanya.

-- BERNAMA