AMPANG: PKR mengumumkan seramai lapan calon daripada parti itu, diketuai Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertanding di lapan kerusi Parlimen di Perak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain Anwar yang bertanding di Parlimen Tambun, beberapa nama besar turut dicalonkan di negeri itu dengan anak kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar diumumkan bertanding di Parlimen Pasir Salak.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pula diletakkan di Parlimen Bagan Datuk, dijangka berentap dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim akan bertanding di Parlimen Padang Rengas manakala bekas Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Amin pula di Bagan Serai.

Nama mereka diumumkan pada majlis Malam Pengumuman Calon PKR di Ampang, malam tadi, bersama seramai 72 calon PKR yang akan bertanding pada PRU15.

Pengumuman itu menyaksikan Perak terus menjadi negeri paling panas dalam PRU15 apabila satu demi satu nama-nama besar dalam arena politik negara menjadi calon di negeri tersebut.

Terdahulu, DAP Perak mengumumkan bakal bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 19 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.

Jumlah itu menyaksikan masing-masing pertambahan satu kerusi Parlimen dan DUN, berbanding kerusi yang ditandingi pada PRU14.

Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Howard Lee Chuan How yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding di Gerik, diumumkan bertanding di Parlimen Ipoh Timor.

Penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Wong berpindah ke Parlimen Taiping.

Sementara itu, penyandang lain-lain kerusi Parlimen kekal bertanding termasuk M. Kulasegaran (Ipoh Barat), V. Sivakumar (Batu Gajah), Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) dan Nga Kor Ming (Teluk Intan).