KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak seharusnya terperangkap dalam politik identiti atau kaum, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran bagi memastikan kelangsungan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik dan Pengajian MADANI, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata, pendekatan itu penting memandangkan PKR membawa identiti parti berbilang kaum dengan sokongan dari pelbagai segmen masyarakat.
“PKR mahu ketengahkan kekuatan sebagai satu parti multiracial, tetapi realitinya amat sukar untuk PKR ketika ini memenangi hati dan undi orang Melayu apabila terdapatnya pilihan-pilihan lain.
“Saya rasa PKR harus terus usaha memenangi pengundi segmen pelbagai, bukan sahaja kalangan orang Melayu, tetapi juga kelompok bukan Melayu,” kata beliau dalam program Pantau Agenda Reformasi, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, kelebihan PKR sebagai parti 'rangkum semua' membolehkan sokongan diraih daripada pelbagai lapisan masyarakat, namun pada masa sama ia menuntut parti itu memahami keutamaan berbeza setiap segmen pengundi.
“PKR telah membentuk sebuah kerajaan sekarang ini. Jadi, bukan sahaja kita nak sebut tentang identiti politik atau cuba memenangi undi Melayu, Cina, India dan sebagainya, PKR juga harus fokus kepada isu pentadbiran (governance).
“Sebab ini yang akan menarik undi dan perhatian semua rakyat Malaysia pada akhirnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hala tuju PKR menerusi Kongres Nasional Keadilan 2026, khususnya cabaran parti itu mengekalkan relevansi dan identiti reformasi menjelang PRU16.
Jelas Syaza, PKR kini perlu memberi perhatian kepada sejauh mana prestasi kerajaan mampu diterjemahkan kepada hasil yang boleh dirasai rakyat, bukan terus bergantung kepada naratif reformasi semata-mata.
“Apabila kita sebut tentang PKR, semua orang akan ingat tentang laungan reformasi. Tetapi laungan reformasi semasa di luar kerajaan itu sesuatu yang berbeza dengan laungan reformasi ketika di dalam kerajaan.
“Sekarang ini apabila sebahagian kerajaan, jika kita sebut tentang reformasi yang disinonimkan dengan PKR, kita mahu lihat daripaa segi prestasi serta hasil,” tegasnya.
Pada masa sama, Syaza melihat PKR perlu memberi perhatian kepada isu kepimpinan dan kelangsungan parti yang ketika ini terlalu bergantung kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, persoalan mengenai barisan pelapis masih belum mempunyai jawapan jelas, terutamanya tokoh dengan karisma dan autoriti setara Anwar.
“Persoalan timbul, kini siapakah nombor dua di dalam parti? Itu persoalan yang lebih mustahak ketika ini.
"Macam mana kita nak buktikan bahawa PKR itu lebih besar daripada seorang yang bernama Anwar Ibrahim. Sebab kita mahu kelangsungan parti ini melangkaui tahun-tahun mendatang,” katanya lagi.