Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan belum menerima peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang kini masih bercuti.
- Anwar telah bertemu Loke dan meminta beliau bercuti terlebih dahulu, namun alasan peletakan jawatan tidak diperincikan kepada umum.
- Loke dan Ahli Parlimen DAP lain tetap menyokong kepimpinan Anwar walaupun surat peletakan jawatan telah diterima secara rasmi.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan masih belum menerima peletakan jawatan Datuk Seri Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, yang ketika ini masih bercuti.
Beliau berkata, sudah mengadakan pertemuan dengan Loke yang memberikan alasan berhubung perkara itu sebelum meminta beliau bercuti terlebih dahulu.
“Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti.
“Jumpa, dia bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahu… cuti dulu,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI” dan Majlis Peluncuran CikguILMU oleh YTL AI Labs di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Mengulas mengenai pengurusan tugas Menteri Pengangkutan sepanjang ketiadaan Anthony Loke, Anwar berkata, urusan pentadbiran kementerian itu masih boleh diteruskan mengikut peraturan sedia ada menerusi peranan Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan Menteri.
Bagaimanapun, beliau berkata akan menanggung sementara tugas berkenaan.
“Tugas sekarang ni kalau ikut peraturannya memang… KSU ada, Timbalan Menteri ada, tapi memang Perdana Menteri tampung sekejap,” katanya.
Pada 10 November lalu, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Loke dan Ahli Parlimen DAP lain kekal menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan perkembangan itu, Anwar menyatakan belum membuat sebarang keputusan berhubung peletakan jawatan Loke, meskipun sudah menerima surat rasmi daripada pemimpin DAP berkenaan.