KUALA LUMPUR: Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan baharu di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lumpuh sekiranya mana-mana ahli Parlimen yang masih berdepan kes mahkamah dilantik sebagai anggota Kabinetnya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya berkompromi  dalam isu pelantikan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai kes mahkamah.

Beliau berpendapat, PM perlu membuktikan kepada rakyat bahawa nilai integriti dan karisma pemimpin yang bersih serta bebas rasuah adalah keutamaan dalam anggota kabinet bagi memartabatkan kembali nama Malaysia di persada dunia.

"Mereka (ahli Parlimen yang mempunyai kes mahkamah) mesti terus dihadapkan ke mahkamah sehingga didapati tidak bersalah dan dilepaskan sepenuhnya, barulah dilantik.

"Hal ini sangat penting untuk membezakan kerajaan kini dan yang lalu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Jais turut berkata, nilai integriti, ketelusan dan salah guna kuasa mesti dizahirkan menerusi pelantikan anggota-anggota kabinet yang mempunyai rekod bersih.

BACA SEMUA BERHUBUNG PANTAU KERAJAAN BAHARU DI SINI

"Kita sedar bahawa selama ini Perdana Menteri sewaktu mengetuai barisan pembangkang secara konsisten tegas dengan pandangan mahukan pemimpin-pemimpin yang berintegriti tinggi. Jadi, inilah masanya untuk membuktikan ketegasan tersebut," tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut mengesa kerajaan baharu di bawah Anwar yang mahu melakukan reformasi untuk bebaskan negara daripada cengkaman salah guna kuasa dan peyelewangan wang rakyat.

"Hentikan kerakusan kuasa politik supaya semua ahli parlimen yang bakal dilantik dapat bertindak dan bekerja tanpa melatah dalam mainan politik kotor," ujarnya.


* Hari ini, Astro AWANI mengajukan soalan ini: 'Wajarkah Ahli Parlimen berdepan kes mahkamah sertai Kabinet?* di undi.astroawani.com