SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman penting berkaitan ekonomi negara petang ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberi bayangan berhubung pengumuman tersebut ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2023 di sini, hari ini.

"Saya difahamkan YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri akan membuat pengumuman penting pada petang ini. Pengumuman itu bakal membantu untuk melonjakkan ekonomi negara kita dalam kadar segera.

"Tapi saya tidak boleh berikan (beritahu) apa yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri...saya yakin ia akan disambut baik oleh industri serta sektor ekonomi negara kita," katanya.

Loke berkata perkara asas yang akan terus dilaksanakan oleh kerajaan adalah memastikan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negara ditingkatkan selepas setahun Kerajaan Perpaduan berjaya menstabilkan politik negara di samping mengukuhkan pentadbiran negara.

"Memang itu merupakan perkara asas dan dasar yang harus kita berikan tumpuan. Bukan kita tidak buat apa-apa setahun lalu.

"Banyak dasar dan keputusan telah dibuat berhubung ekonomi, pengurusan sumber negara, pengagihan kekayaan negara, pengagihan subsidi dan memang banyak telah dibincang dan ada yang telah diputuskan," katanya.

Jelasnya lagi, siri lawatan Perdana Menteri ke luar negara bukan sahaja memfokuskan kepada isu antarabangsa malah isu domestik turut diberi tumpuan.

"Setiap lawatan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet ke luar negara akhirnya ialah untuk mengukuhkan hubungan Malaysia dengan negara luar demi memastikan pertumbuhan ekonomi lebih baik kerana Malaysia merupakan sebuah negara dagang.

"Kita tidak boleh lihat pada diri kita sendiri sahaja. Pasaran kita tidak besar. Kita nak berbaik dan berkawan dengan dunia luar. Apabila kita ada hubungan baik dengan kuasa besar ini membantu ekonomi kita menembusi pasaran yang lebih besar, bantu syarikat dan kilang untuk tingkatkan eksport ke seluruh dunia," katanya.

Loke berkata satu contoh hasil hubungan luar negara ialah Kerajaan China dua hari lalu mengumumkan bahawa Malaysia satu-satu negara dari Asia yang tidak memerlukan visa selama 15 hari untuk masuk ke negara tersebut.

"Ini satu pengumuman sangat signifikan. Pada pengumuman itu, ada enam negara diberi pengecualian visa dengan lima dari Eropah antaranya Perancis, Jerman dan Itali.

-- BERNAMA