ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) menolak sebarang usaha untuk mewujudkan sistem kawalan global terhadap “superintelligence”, kata seorang pegawai Rumah Putih kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Michael Kratsios, yang mengetuai Pejabat Dasar Sains dan Teknologi White House berkata, perbincangan antarabangsa mengenai kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya membawa kepada pembentukan tadbir urus global.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai AI dan keselamatan antarabangsa.
“Superintelligence” ialah istilah yang digunakan Presiden AS, Donald Trump ketika merujuk kepada kecerdasan buatan dalam ucapannya di PBB pada Selasa.
Menurut Kratsios, AS sebagai peneraju dalam pembangunan teknologi itu telah mengambil langkah untuk memastikan kemajuannya diteruskan secara selamat dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, atas dasar itu, tiada sebab untuk menghentikan pembangunan teknologi berkenaan atau mengehadkannya menerusi struktur tadbir urus global yang baharu.
Sebaliknya, Kratsios menggalakkan setiap negara menggubal peraturan masing-masing bagi mengawal selia teknologi berkenaan.
“Wakil rakyat Amerika akan menggubal undang-undang dan mengawal selia bagi pihak rakyat Amerika.
"Anda juga perlu melakukan perkara yang sama untuk rakyat anda,” katanya.
Beliau berkata, potensi teknologi itu hanya dapat direalisasikan menerusi ekosistem terbuka dan bekerjasama yang berasaskan infrastruktur berdaulat serta keupayaan domestik.
Terdahulu, ketua OpenAI dan Anthropic memberitahu Majlis Keselamatan bahawa tiada satu pihak seharusnya menguasai kecerdasan buatan, sambil menggesa kerjasama antarabangsa bagi mengurus risiko teknologi itu seiring dengan perkembangannya.
-- BERNAMA-ANADOLU