IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak berharap agar kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan terus stabil bagi memastikan keharmonian politik dan kelangsungan kehidupan rakyat.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, BN Perak menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Menurutnya, proses pelantikan itu yang dijalankan secara tertib dengan mengambil kira pandangan Raja-Raja Melayu serta suara Ahli-Ahli Parlimen mencerminkan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam menangani krisis politik supaya tidak terus berlarutan.

Sambil merakamkan tahniah di atas pelantikan itu, beliau yakin dengan ketokohan dan pengalaman Ismail Sabri untuk mengembalikan kestabilan politik, sekali gus membawa tumpuan semua pihak dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9

“Kami menyeru semua pihak untuk bermuhasabah dan mengambil teladan daripada penzahiran harapan Seri Paduka Baginda supaya semua pihak menghentikan polemik politik serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kemashalatan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Saarani berkata, penghargaan juga harus diberikan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berlapang dada untuk bersetuju menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri yang dinamakan oleh BN.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.