KUALA LUMPUR: Penghujung sidang Dewan Rakyat pada petang Khamis ‘diceriakan’ dengan gelagat dan perbahasan bersemangat daripada Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat).

Bahkan, dalam perbahasan beliau, Mohd Sany turut melabelkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘gila’.

“Bila ada tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa Perdana Menteri kita tidak buat apa-apa saya nak nafikan dengan sekeras-kerasnya.

PM kita seorang yang 'gila'... 'gila' buat kerja - YB Hulu Langat

“Saya nak nyatakan di dewan yang mulia ini di mana Perdana Menteri kita ini ‘gila’.

“Dia (PM) gila buat kerja, gila berusaha dan gila kuat bekerja malah tidak bazirkan masa dalam lawatan (ke luar negara) ini…tidak ada masa senggang, tidak ada masa rehat,” katanya.

Kenyataan itu kemudian mendapat respons daripada beberapa Ahli Parlimen yang berulang kali mencelah ketika beliau membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 itu.

Dalam pada itu, Mohd Sany berkata PM Anwar sentiasa memikirkan persoalan berkaitan rakyat malah membawa isu penindasan rakyat Palestin di Gaza ke beberapa negara.

Tegasnya, ia adalah bagi menyatakan pendirian Putrajaya terhadap isu global tersebut.

"Perdana Menteri kita ini sentiasa memikirkan persoalan berkaitan dengan rakyat Malaysia, dan soal Palestin.

"Malah memikirkan bagaimana nak tarik pelabur-pelabur untuk datang ke negara ini.

“Inilah PM rakyat Malaysia sekarang dan sepatutnya rasa bangga mempunyai seorang PM yang kuat dan rajin bekerja untuk memastikan suatu hari nanti Malaysia akan di satu kemuncak dan akan digelar sebagai Harimau Asia,” ujarnya.