KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu malam ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 15 Perlembagaan PN yang memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana parti anggota yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan.
Beliau berkata tindakan yang boleh diambil termasuk memberi amaran, menggantung atau memecat parti anggota.
Katanya, PN akan mengambil langkah sewajarnya menerusi prosiding tatatertib, termasuk menyediakan pertuduhan untuk diserahkan kepada Bersatu.
“Pertuduhan-pertuduhan yang akan dibuat akan didraf oleh Perikatan Nasional kepada pihak parti anggota ini, iaitu Bersatu, dan mereka sudah tentu akan diberikan masa, tempoh masa yang mencukupi untuk menjawab,” katanya.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam ini dipengerusikan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mesyuarat itu turut dihadiri semua timbalan pengerusi kecuali wakil Bersatu, Presiden Bersatu serta ahli-ahli Majlis Tertinggi.
Terdahulu, Takiyuddin memaklumkan PN disahkan kekal berfungsi seperti biasa susulan perintah Mahkamah Tinggi yang menggantung pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Takiyuddin menegaskan keputusan mahkamah ini kekal sah dan membolehkan urusan parti diteruskan termasuk mesyuarat tergempar pimpinan, walaupun pihak RoS dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan.