KUCHING: Perikatan Nasional (PN) tidak perlu terlibat secara langsung dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak ke-12 (PRN12) akan datang, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, dalam hal yang menyentuh kempen PRN12 kelak, biarkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengendalikan kempen tersebut bagi mengelakkan pergeseran dalam kalangan ahli-ahli parti.

"Walaupun kita berkawan, tetapi kita ada masalah-masalah sendiri, ramai juga antara mereka (PN) bersama kita dalam parti-parti yang kita ada sekarang.

"Walaupun kita berkawan, di peringkat dasar perkara ini boleh menyebabkan sedikit kesulitan. Daripada perkara ini menjadi masalah kepada sesama kita, lebih baik biarkan GPS atau parti di bawah GPS mengatur kempen sendiri," kata beliau.

BACA: PN sokong penuh GPS, soal kerusi bincang kemudian - Muhyiddin

BACA: PN sebulat suara setuju bantu GPS hadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak



Sarawak Memilih | Beri sokongan moral, tidak perlu bantu kempen


Malah, ujar Abdul Karim, isu-isu domestik negeri itu boleh ditangani dengan kesepakatan antara parti tempatan dalam GPS tanpa penglibatan orang luar. 

"Baiknya PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) atau Parti Demokratik Progresif (PDP), biarkan mereka yang mengatur kempen mereka. Mereka (PN) boleh memberi sokongan moral, tetapi tidak perlu turun padang untuk membantu sesama sendiri," tegasnya.

BACA: PRN: Pendirian muktamad GPS berhubung persefahaman dengan Bersatu diumumkan pengerusi - Fadillah

Selain mengambil kira sentimen ahli akar umbi, penglibatan pihak luar dalam kempen pilihan raya juga dilihat tidak perlu kerana situasi pandemik COVID-19 yang masih melanda negara, katanya.

"Bukan kita bersifat sombong kerana tidak mahu menerima bantuan, namun kita perlu sedar keadaan di Sarawak sedikit berlainan terutamanya persepsi terhadap pemimpin-pemimpin yang datang dari Semenanjung.

"Selain daripada itu, kita tidak mahu terlalu ramai individu dari Semenanjung atau Sabah datang ke Sarawak terutamanya ketika pilihan raya kerana kita masih lagi dilanda pandemik COVID-19. Sebagai contoh seperti apa yang berlaku pada pilihan raya negeri Sabah sebelum ini," jelas beliau.

BACA: GPS, beri kami peluang bertanding satu, dua kerusi - Pas Sarawak