KUCHING: Persoalan berkaitan pembahagian kerusi yang akan diwakili Perikatan Nasional (PN) di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12), akan dibincang kemudian.

Kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tumpuan utama adalah untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh kemenangan dengan majoriti kerusi yang besar.

"Kita akan bincang, terserah kepada budi bicara Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari dan pimpinan di Sarawak untuk membuat apa-apa keputusan.

"Saya tidak berhasrat menjelaskan lebih, terserah bila ada masa yang sesuai nanti kita akan cuba bincangkan perkara itu," jelasnya dalam sidang media selepas melawat projek naik taraf Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN pada masa sama memberi jaminan PN akan menyokong penuh GPS untuk memenangi PRN-12.

Jelasnya, GPS merupakan rakan kepada PN yang mempunyai dasar perjuangan dan persefahaman yang sama.

Apa yang penting jelasnya adalah untuk memastikan kerajaan negeri yang stabil dapat dibentuk semula selepas pilihan raya negeri yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

"Saya jangka mungkin disebabkan usaha yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan pimpinan dalam kabinet negeri dan juga rakan dalam GPS yang telah bekerja kuat.

"Apa pun situasi kita yang ada di Sarawak ini pada parti Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional akan memberi sokongan penuh itu kerana apa yang penting tiada perpecahan kerjasama," katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya mandat daripada pengundi amat mustahak bagi memastikan agenda pembangunan yang telah dirangka dapat diteruskan dengan lancar.

Muhyiddin melengkapkan lawatan kerja dua hari di Sarawak sebelum kembali ke ibu negara.