KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju untuk menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat bagi membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Menurut Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mempengerusikan mesyuarat MT yang turut dihadiri beberapa ketua-ketua parti komponen.

"Dalam mesyuarat itu, MT menzahirkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas sambutan luar biasa terhadap delegasi Perdana Menteri semasa lawatan rasmi beliau ke Sarawak pada 1 hingga 2 April.

"Keakraban yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi parti sepanjang lawatan rasmi tersebut membuktikan bahawa persefahaman politik antara dua parti berada tahap yang amat baik.

"Malah, kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu juga komited untuk memantapkan lagi kerjasama politik antara PN dan GPS di masa hadapan.

"Sehubungan itu, MT PN sebulat suara bersetuju untuk menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat bagi membantu GPS memenangi PRN Sarawak akan datang," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Katanya, antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan; Presiden SAPP, Senator Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Sementara itu, Hamzah berkata, MT PN itu turut menyambut baik penubuhan jawatankuasa di peringkat pusat bagi berdepan PRU15.

“MT PN mengambil maklum serta menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-Pas di peringkat pusat bagi menghadapi PRU15 seperti yang diumumkan bersama oleh Bersatu dan Pas pada 31 Mac 2021.

“Dalam hal ini, PN percaya bahawa jawatankuasa itu mampu merangka strategi kukuh bagi meraih sokongan dalam kalangan bumiputera.

“Di samping memelihara kepentingan dan hak bukan bumiputera seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.