KUALA LUMPUR: Pas Sarawak berharap Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberikan ruang kepada parti itu meletakkan calon sekurang-kurang di satu atau dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12).

Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, peluang meletakkan calon akan menzahirkan semangat kerjasama antara Pas yang merupakan komponen Perikatan Nasional (PN), manakala GPS menyokong PN.

Jelasnya lagi, peluang meletakkan calon Pas memberi impak kewujudan parti itu di Sarawak.

"Kita minta mungkin GPS memberi laluan... supaya walaupun kita bertanding satu atau dua kerusi ia tidak akan menjejaskan mana-mana pihak.

BACA: Jika kawan jangan lawan, amaran Wan Junaidi kepada calon Bersatu di Sarawak

"Bagaimanapun, kerusi yang akan kita tandingi itu nanti merupakan kerusi yang boleh dimenangi oleh calon Pas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Selain itu, Jofri menjelaskan, pihaknya masih belum mengadakan rundingan atau mesyuarat bersama kepimpinan GPS di peringkat Sarawak.

BACA: PN sokong penuh GPS, soal kerusi bincang kemudian - Muhyiddin

BACA: PN sebulat suara setuju bantu GPS hadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak

Mengulas mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN bahawa PN akan menyokong penuh dalam memastikan GPS menang besar pada PRN akan datang Jofri berkata, setakat ini Pas Sarawak belum menerima arahan daripada kepimpinan pusat.  

"Namun, kami akan menyokong apa sahaja keputusan kepimpinan Pas pusat berhubung hal ini kerana kita percaya ia adalah keputusan terbaik. Bagaimanapun di peringkat Sarawak tiada apa-apa rundingan dengan GPS," katanya.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin berkata, pembahagian kerusi yang akan diwakili PN di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), akan dibincang kemudian selain mengikut budi bicara Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


Pilihan Raya | Jika kawan, jangan lawan - Wan Junaidi

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, tumpuan utama adalah untuk memastikan GPS memperoleh kemenangan dengan majoriti kerusi yang besar pada PRN12.

Sementara pada Ahad, Majlis Tertinggi (MT) PN pula, sebulat suara bersetuju untuk menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat bagi membantu GPS menghadapi PRN12.