KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang hari ini mengumumkan 18 portfolio tumpuan yang akan dibarisi oleh semua 17 wakil rakyatnya bagi 'membayangi' dan memantau peranan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik pada 2 Dis lepas.

Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata inisiatif itu merupakan usaha gabungan politik tersebut untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkualiti dan konstruktif selain meningkatkan prestasi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Portfolio tumpuan ini bertujuan membayangi kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Exco Pahang yang dilantik selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap setiap Exco.

"Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN mempunyai satu atau dua portfolio dan mereka akan memainkan peranan dengan mengetuai perbincangan mengenai portfolio masing-masing termasuk aduan yang diterima daripada rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas ADUN dan Ahli Parlimen PN di sini.

Beliau berkata PN Pahang juga akan melantik penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan gabungan itu tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri selepas keputusan PRU15 menyaksikan DUN Pahang tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi.

Pada PRU15, BN dan PN masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala PH memenangi lapan kerusi.

Berikut adalah senarai portfolio tumpuan yang diumumkan oleh PN Pahang:

  1. Industri Asas Tani dan Bioteknologi - ADUN Lanchang Hasan Omar

  2. Pendidikan dan Kesihatan - ADUN Chenor Mujibur Rahman Ishak

  3. Hal Ehwal Agama - ADUN Bukit Ibam Nazri Ahmad

  4. Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli - ADUN Tahan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin

  5. Kerja Raya dan Pengangkutan - ADUN Pulau Manis Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan

  6. Kerajaan Tempatan dan Perumahan - ADUN Kuala Sentul Jasri Jamaludin

  7. Alam Sekitar dan Teknologi Hijau - ADUN Cheka Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

  8. Komunikasi dan Multimedia - ADUN Panching Mohd Tarmizi Yahya

  9. Belia, Sukan dan Kebudayaan - ADUN Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus

  10. Pelaburan dan Perindustrian - ADUN Beserah Andansura Rabu

  11. Sains, Teknologi dan Inovasi - ADUN Damak Zuridan Mohd Daud

  12. Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga - ADUN Tanjung Lumpur Rosli Abdul Jabar

  13. Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia - ADUN Sungai Lembing Ayub Ashri

  14. Perpaduan, Pelancongan dan Badan-badan Bukan Kerajaan - ADUN Luit Mohd Sofian Abdul Jalil

  15. Hal Ehwal Felda, Usahawan dan Koperasi - ADUN Jengka Shahril Azam Abd Halim

  16. Ekonomi dan Peladangan, Komuniti - ADUN Pulau Tawar Yohanis Ahmad

  17. Sumber Asli, Tenaga dan Air - ADUN Cheka Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

  18. Kewangan dan Tanah - ADUN Kuala Semantan Hasanuddin Salim



-- BERNAMA