Skip to main content

Malaysia

2,134 calon SPM di Pahang berisiko terjejas akibat banjir

2,134 calon SPM 2026 di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas banjir, dengan Kuantan mencatat jumlah tertinggi sebanyak 697 calon. - Foto BERNAMA
2,134 calon SPM 2026 di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas banjir, dengan Kuantan mencatat jumlah tertinggi sebanyak 697 calon. - Foto BERNAMA
Advertisement

MARAN: Sebanyak 2,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas akibat banjir, dengan Kuantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 697 calon.

Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Ahmad Zamri Md Isa berkata jumlah terkini itu, terdiri daripada 1,000 calon lelaki dan 1,134 calon perempuan berdasarkan pemantauan menerusi sistem dalam talian, Dashboard Ops Payung yang dibangunkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

“Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan, JPN Pahang turut mengaktifkan mekanisme tindak balas bersepadu bersama dengan agensi keselamatan dan kesihatan.

Advertisement

“Selain itu, pusat peperiksaan dibahagikan kepada 65 kelompok di seluruh negeri, bagi memudahkan kawalan ketika menghadapi banjir,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Maran di Kampung Berkat, di sini hari ini. 

Berdasarkan semakan pada Dashboard Ops Payung juga, selain Kuantan, Temerloh mencatatkan 418 calon berisiko, diikuti Maran (246), Lipis (175), Jerantut (135), Pekan (114), Rompin (107), Bentong (90), Bera (73), Raub (43) dan Cameron Highlands (36).

Advertisement

Ahmad Zamri berkata kesiapsiagaan JPN Pahang tidak hanya tertumpu kepada banjir, tetapi turut merangkumi Operasi Topeng bagi menghadapi situasi jerebu, Operasi Gempa bagi insiden bencana alam seperti gempa bumi serta Operasi Wabak bagi menangani penularan penyakit berjangkit.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan calon yang terlibat atau terkesan dengan bencana supaya segera memaklumkan keadaan mereka kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPN bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement