KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digugurkan daripada jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rombakan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan PN
“Bagi tujuan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI), dan (VII) Perlembagaan PN.
“Maka dengan ini saya mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran Perikatan Nasional, berkuatkuasa serta -merta,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Menurut beliau, Mohd Radzi diberhentikan daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan digantikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Manakala, Azmin diberhentikan daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN.
Kenyataan tersebut diedarkan kepada pemberita selepas Mesyuarat Pra Persidangan Ahli Parlimen Pembangkang di Pejabat Agung Pas pada Rabu malam.
Dalam pada itu Ahmad Samsuri turut mengumumkan jawatan Bendahari PN kini disandang oleh Subramaniam Surunaryan selepas dikosongkan oleh Muhammad Sanusi.
“Bendahari (Sanusi) telah diberhentikan perkhidmatan dan digantikan oleh Subramaniam,” katanya lagi.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut mengumumkan satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi PN.