KUALA LUMPUR: Gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah tawaran baharu untuk rakyat Malaysia, dan parti itu akan kekal untuk tempoh masa yang lama, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, gabungan berkenaan ingin kekal sebagai sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi yang akan datang, serta mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten.

“Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin. Kita mempunyai aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Kita komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat seluruhnya,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-49 Gerakan secara dalam talian, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau sentiasa mementingkan sentimen dan kehendak rakyat mahukan sebuah kerajaan dan pentadbiran yang lebih baik dan cekap.

Katanya lagi, harapan rakyat termasuklah kerajaan yang mempunyai integriti dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

“Saya yakin, Kerajaan Perikatan Nasional menepati sebahagian segala komitmen dan iltizam ini. Kami telah kotakan janji kami kepada rakyat.

“Perikatan Nasional mempunyai peranan yang penting dalam mewujudkan kestabilan politik, mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum yang bersatu padu dalam sebuah negara majmuk, menjunjung prinsip tadbir urus yang baik dalam pentadbiran Kerajaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang. Inilah prinsip-prinsip asas yang menunjangi pembentukan Perikatan Nasional,” katanya lagi.