KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional telah memutuskan tidak akan meletakkan calon untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya akan memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam PRK yang akan diadakan pada 2 Disember depan. 

“Perikatan Nasional akan memberikan tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan pada 2 Disember 2023,” jelasnya melalui satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Tambahnya, dalam waktu yang sama, komponen-komponen parti dalam PN juga sedang sibuk menguruskan Mesyuarat Agung Tahunan Parti di peringkat cawangan, bahagian dan nasional.

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandang DUN itu, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu akibat komplikasi buah pinggang, hati, jantung dan penyakit kencing manis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Jepak diadakan pada 4 November dengan 21 Oktober sebagai hari penamaan calon.